Hubungan dengan manusia Landak laut

Kecederaan

Kecederaan landak laut adalah luka tusukan yang disebabkan oleh duri-durinya yang mudah patah.[46] Ini adalah sumber kecederaan biasa bagi perenang laut, terutamanya di sepanjang permukaan pantai di mana terdapat batu karang dengan landak yang pegun. Sengatannya berbeza-beza mengikut spesies, malah durinya mungkin berbisa atau menyebabkan jangkitan. Juga boleh terjadi granuloma dan pewarnaan kulit dari pewarna semula jadi di dalam badan landak laut. Masalah pernafasan mungkin menunjukkan reaksi serius terhadap toksin daripada landak laut.[47] Landak laut menyebabkan luka yang menyakitkan apabila menusuk kulit manusia, tetapi tidak berbahaya jika dicabut dengan segera; jika dibiarkan, mungkin akan berlakunya masalah yang lebih parah.[48]

Kegunaan sains

Landak laut merupakan organisma contoh yang tradisional dalam bidang biologi perkembangan. Penggunaan landak laut berasal dari zaman 1800-an, apabila perkembangan embrionya dapat diperhatikan dengan mudah melalui mikroskop. Oleh kerana sifat telur landak yang lutsinar, ia boleh digunakan untuk memerhatikan bahawa sel sperma benar-benar menyuburkan ovum.[49] Landak laut terus digunakan untuk kajian embrio atas dasar mengkaji penyakit yang membawa maut melalui perkembangan pranatal.

Landak laut digunakan dalam kajian kepanjangan umur untuk perbandingan antara muda dan tua spesies, terutamanya mengenai kemampuan untuk menjana semula tisu seperti yang diperlukan.[50] Para saintis di Universiti St Andrews telah menemui suatu urutan genetik pada landak laut, iaitu kawasan '2A' yang sebelum ini dipercayai hanya berasal dari virus yang menimpa manusia seperti virus penyakit kaki dan mulut.[51] Baru-baru ini, Eric H. Davidson dan Roy John Britten menyokong penggunaan landak laut sebagai organisma contoh kerana ia mudah diperoleh, cepat membiak, dan panjang jangka hayatnya. Bidang oseanografi (kaji lautan) turut memantau kesihatan dan populasi landak untuk menilai keseluruhan pengasidan lautan,[52] suhu, dan kesan ekologinya.

Kedudukan evolusi organisma ini serta embriologi uniknya dengan simetri lima rusuk dijadikan hujah utama dalam usul untuk mencari urutan genomnya. Yang penting, landak laut merupakan saudara hidup yang terdekat dengan kordat dan oleh sebab itulah ia mungkin dapat memberikan petunjuk kepada kajian evolusi vertebrata.[53] Genom Strongylocentrotus purpuratus disiapkan pada tahun 2006 dan mewujudkan homologi (kajian persamaan) antara gen landak laut dan sistem imun vertebrata. Landak laut mengandungi sekurang-kurangnya 222 gen reseptor seakan tol dan lebih daripada 200 gen yang berkaitan dengan keluarga reseptor seakan NOD terdapat dalam vertebrata.[54] Oleh itu, landak laut semakin berguna sebagai organisme contoh yang berharga untuk mengkaji evolusi sistem imun semula jadi. Usaha pengurutan genetik ini juga menunjukkan bahawa biarpun beberapa gen disangka hanya terdapat pada vertebrata, namun ada juga inovasi yang sebelum ini tidak pernah ditemui di luar klasifikasi kordata, seperti faktor transkripsi imun PU.1 dan SPIB.[53]

Sebagai makanan

Isi gonad (alat kelamin) landak laut jantan mahupun betina[55] sering dijadikan bahan hidangan di serata dunia.[56][57][58] Di Asia Tenggara, masyarakat suku Bajau yang tinggal di perairan Sabah dan Filipina selatan terkenal dengan hidangan landak laut yang dimakan secara mentah atau dimasak. Bagi masyarakat Bajau, landak berduri panjang dan tajam digelar tayum[59] sementara yang berduri pendek dipanggil tehe-tehe.[60] Antara masakan Bajau yang terkenal menggunakan landak laut ialah oko-oko, yang mana landak laut dibuang duri dan isinya, kemudian disumbat dengan beras yang diadun dengan aram, halia, cili dan sedikit gula dan direbus.[60]

Dalam masakan Mediterranean, spesies Paracentrotus lividus sering dimakan mentah, atau dengan lemon,[61] dikenali dalam menu Itali sebagai sebagai ricci dan kadang-kadang digunakan dalam sos pasta. Ia juga digunakan untuk menambah perisa dalam telur dadar, telur orak, sup ikan,[62] mayonis, sos Béchamel untuk membuat tartlet,[63] bouillie untuk membuat soufflé,[64] atau sos Hollandaise untuk membuat sos ikan.[65] Dalam masakan Chile, landak laut disajikan mentah dengan lemon, bawang, dan minyak zaitun.

Walaupun spesies Strongylocentrotus droebachiensis yang terdapat di Atlantik Utara boleh dimakan, tetapi ia tidak dimakan secara meluas. Namun begitu, landak laut sering dimakan di sekitar Pulau Kodiak oleh penduduk peribumi Alaska yang memanggilnya uutuk dalam bahasa Alutiiq. Spesies ini biasanya dieksport, kebanyakannya ke Jepun.[66] Di rantau Hindia Barat, landak kalam batu dijadikan hidangan.[56] Di Pantai Pasifik Amerika Utara, Strongylocentrotus franciscanus pernah dipuji oleh Euell Gibbons; Strongylocentrotus purpuratus juga dimakan.[56] Di New Zealand, spesies Evechinus chloroticus, yang dikenali sebagai kina dalam bahasa Maori, merupakan hidangan khusus yang asalnya dimakan mentah. Walaupun nelayan New Zealand ingin mengeksportnya ke Jepun, namun kualitinya sering berubah-ubah.[67]

Di Jepun, landak laut dikenali sebagai uni (うに), dan isinya dapat dijual pada harga ¥ 40,000 ($ 360) sekilogram;[68] dihidangkan mentah sebagai sashimi atau dalam sushi, dengan kicap dan wasabi. Jepun mengimport sejumlah besar dari Amerika Syarikat, Korea Selatan, dan pengeluar lain. Jepun menggunakan 50,000 tan setiap tahun, berjumlah lebih dari 80% pengeluaran global.[69] Permintaan Jepun untuk landak laut telah menimbulkan kebimbangan mengenai penangkapan ikan berlebihan.[70] Orang asli Amerika di California juga terkenal dengan makan landak laut.[71] Pantai California Selatan terkenal sebagai sumber uni berkualiti tinggi, dengan penyelam memilih landak laut dari dasar kelpa sedalam 24 m / 80 kaki.[72] Pada tahun 2013, kerajaan negeri California mengehadkan lesen penyelam landak laut kepada 300 orang.[72]

  • Landak laut (uni) sebagai sashimi dengan segumpal wasabi
  • Uni-ikura don Jepun, telur landak laut dan donburi telur salmon
  • Landak laut dibelah di Sicily

Rujukan

WikiPedia: Landak laut http://www.smh.com.au/articles/2004/11/08/10997813... http://www.dfo-mpo.gc.ca/species-especes/species/s... http://echinoblog.blogspot.com/2008/04/holding-on-... http://www.bonappetit.com/people/article/californi... http://www.gizmag.com/carbon-capture-calcium-carbo... http://www.livescience.com/animals/091228-sea-urch... http://emedicine.medscape.com/article/770053-overv... http://www.smithsonianmag.com/science-nature/rise-... http://www.american.edu/TED/urchin.htm http://www.exploratorium.edu/imaging-station/resea...